Bicara Canseleri: Memacu pendidikan
Petikan HarianOnline: Pendidikan
IKUTI pandangan Naib Canselor, Universiti Industri Selangor (Unisel), Datuk Dr Rosti Saruwono mengenai fungsi institusi pengajian tinggi (IPT) untuk terus berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat serta negara kepada wartawan pendidikan Berita Harian, BasirZahrom.
IPT pusat penjanaan ilmu bagi membawa perubahan masyarakat, kemajuan negara.
IPT awam atau swasta diwujudkan berpaksikan matlamat dan fokus masing-masing dalam memacu bidang pendidikan sejajar dengan keistimewaan atau kebitaraan.
Walaupun fungsinya berbeza, namun objektifnya sama iaitu melahirkan cendekiawan, tenaga kerja profesional, separuh mahir seterusnya melonjakkan kualiti institusi masing-masing, sekali gus membawa perubahan masyarakat dan kemajuan kepada negara.
Selain menumpukan kurikulum, IPT adalah pusat penjanaan ilmu berkaitan teori, idea serta penemuan baru dan kedua-dua kegiatan terbabit memerlukan jangka masa lama untuk berjaya, namun jika diberi penekanan khusus terutama bidang yang sedang diusahakan, tidak mustahil ia dapat disingkatkan.
Mengenai penemuan baru, ia tidak semestinya sesuatu bidang yang diajar secara teori atau fundemental saja, namun latihan amali perlu diambil kira sebagai bidang yang mampu menghasilkan idea baru, asalkan mampu memberi manfaat kepada banyak pihak.
Contohnya, dalam bidang bioteknologi, pihak IPT khasnya dan masyarakat amnya semestinya mengharapkan sesuatu perkara baru untuk dikembangkan dalam sektor yang memerlukan termasuk pertanian, akuakultur dan kimia. Jadi dapatan penyelidikan yang dijalankan ditunggu-tunggu.
Bagi menghasilkan hasil yang baik, perlu ada komitmen kalangan penyelidik, selain sumber semula jadi serta pelaburan kerana ia membabitkan risiko di mana rata-rata pelabur Malaysia masih tidak berani mengambil tanggungjawab yang boleh mengakibatkan kerugian besar.
Menerusi ratusan penyelidikan, mungkin hanya satu atau dua yang berjaya, namun aspek dari ekonominya tidak berkesan kerana perlu menambah pelaburan, sekali gus gagal memenuhi keperluan pasaran domestik.
IPT perlu bijak menggunakan sumber di sekeliling terutama institusi yang lokasinya strategik kerana semestinya industri di sekitar sesebuah IPT mahu menjalankan kerjasama dan sanggup mengeluarkan sejumlah kos untuk memajukan syarikat masing-masing.
Jika kita tidak bijak menggunakan sumber, jangan terkejut jika ada pihak luar mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripadanya. Jadi, jelaslah bahawa nilai ekonomi juga menjadi pengukur kemenjadian sesuatu penyelidikan terutama yang diusahakan dengan pihak industri kerana ia menelan modal besar serta tempoh masa yang lama.
Bidang pendidikan juga perlu diperkasakan seiring kecanggihan teknologi, namun ia tidak boleh terlalu bergantung kepada persekitaran semata-mata kerana penyampaian ilmu adalah sesuatu yang bersifat sejagat.
Ia perlu dikembangkan bukan saja dalam negara, malah di pelusuk dunia. Di mana saja ada peluang untuk para ilmuan berkongsi buah fikiran, di situlah kita berkumpul kerana faktor geografi bukan lagi penghalang mengembangkan kerjasama.
Hubungan yang terjalin perlu kukuh, bukan sekadar dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) saja, tetapi hubungan secara individu lebih penting terutama dalam kalangan penyelidik.
Banyak pihak kurang faham bahawa kerjasama tidak semestinya menerusi MoU, namun yang penting adalah keyakinan antara penyelidik serta faham kepakaran bidang dimiliki masing-masing.
Jalinan rasmi melalui MoU hanya perlu dimeterai jika kita memerlukan dana, namun perkara yang lebih penting adalah hubungan individu serta idea dijana dan bukan kemudahan fizikal semata-mata.
Di Unisel, kerjasama diwujudkan dengan beberapa universiti di Indonesia membabitkan bidang pengajian sosial, pendidikan, perniagaan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Iran pula, baru-baru ini mengiktiraf pengajian di Unisel termasuk peringkat diploma hingga sarjana dan proses pemurnian kerjasama dengan universiti negara timur tengah itu sedang dilakukan.
Dalam aspek sosial pula, IPT perlu turun padang membantu rakyat memotivasikan golongan muda dan menjalankan kegiatan kemasyarakatan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Walaupun baru berusia 10 tahun, Unisel sudah menghasilkan seramai 4,000 graduan yang menjadi rebutan industri kerana program kami bukan mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi mengambil kira keperluan dan kepentingan masyarakat serta menitikberatkan aspirasi negara.
Sejajar enrolmen pelajar yang kian bertambah, tahun ini menyaksikan kohort terbesar berjaya menamatkan pengajian masing-masing iaitu 3,000 pelajar dan saya yakin jumlah itu akan bertambah seiring peredaran masa.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home